Tuesday, May 6, 2014

Ramah mesra bersama Menteri Besar Kelantan

BACHOK - Penduduk di daerah ini berasa cukup bertuah dengan kesudian Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob meluangkan masa setengah hari di Dun Perupuk, di sini semalam.

Menjelang tengah hari, Ahmad menghadiri majlis kenduri kaum Siam di Kampung Balai sebelum menunaikan solat berjemaah bersama penduduk dan menjamu selera dalam jamuan rakyat di Kampung Mujur pada sebelah petang.

Beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah masjid baharu Mukim Mujur yang bakal memulakan pembinaan dalam masa terdekat.

Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan dan amat berbangga melihat sambutan diberikan orang ramai.

"Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar atas kunjungannya dan tidak lupa kepada semua yang menjayakan majlis bersama beliau hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah untuk pembinaan masjid baharu Mukim Mujur, dekat sini.

Hadir sama, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Adun Tawang, Hassan Mahmood.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Mukim Mujur, Mohamed Marzuki Lateh memaklumkan, hasrat membina masjid baharu sudah dirancang selama dua tahun bersama ahli jawatankuasa masjid.

Menurutnya, pembinaan masjid baharu adalah satu langkah perlu diambil memandangkan masjid sedia ada yang dibina sejak 1979 sudah semakin usang dan sering bocor.

"Masjid sedia ada hanya boleh memuatkan 500 jemaah pada satu-satu masa dan kami bercadang membina masjid baharu yang boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah. Ia akan dibina dua tingkat untuk keselesaan jemaah.

"Pembinaannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat menggunakan dana melalui derma orang ramai. Bagi mereka yang ingin menyumbang untuk pembinaan masjid ini, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 03111-01–001400-5," katanya.

Tambah Mohamed Marzuki, sebarang pertanyaan mengenai pembinaan masjid baharu Mukim Mujur boleh diajukan kepada beliau sendiri di talian 013-935 3268 atau kepada Imam II Masjid Mukim Mujur di talian 019-959 9484.

Malaysia tersingkir Kejohanan Futsal AFC 2014

MALAYSIA tersingkar dari Kejohanan Futsal AFC 2014 setelah tewas kepada pasukan China Taipei 2-3 dalam perlawanan kumpulan C yang terakhir di Stadium Ton Duc Thang University di Ho Chi Minh City, Vietnam pada Isnin.  
   
Kekalahan itu menyaksikan pasukan Maizal Hairi Marzuki gagal menempah tempat di suku akhir selepas mengumpul tiga mata dari tiga perlawanan.
   
Thailand dan Lubnan berjaya memasuki suku akhir sekalipun kedua-dua pihak seri 3-3 dalam satu lagi perlawanan kumpulan di Phu Tho Stadium, di bandaraya itu.  
   
China Taipei yang telahpun tersingkir dari pertandingan, mendahului kedudukan menerusi Chang Hao-Wei pada minit ke-14 sebelum skipper, Huang Cheng-Tsung memperkukuh kedudukan hadapannya, tiga minit kemudian.   
   
Mohd Asmie Amir Zahari mengecilkan jurang bagi pasukan negara pada minit ke-20 tetapi gagal menyekat pasukan lawan menambah gol ketiga menerusi tendangan Weng Wei-Pin pada minit ke-26.   

Muhamad Fitri Muhamad Yatim menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-29 tetapi sudah lewat untuk menghalang pasukan lawan meraih kemenangan pertama mereka di pertandingan itu.
   
Maizal Hairi berkata, pemain-pemainnya telah bermain dengan baik, tetapi mereka gagal mendapatkan mata penyama selepas ketinggalan 2-3 kepada China Taipei pada separuh kedua.  
   
Keputusan itu melanjutkan kemarau Malaysia di pertandingan itu oleh kerana mereka tidak pernah memasukan suku akhir sejak pertandingan diperkenalkan pada 1999.   
- Bernama

Pelajar Al-Azhar disingkir

KAHERAH - MESIR. Puluhan pelajar Universiti Al-Azhar disingkir kerana terlibat dalam protes anti kerajaan.

Agensi berita Mena melaporkan, kebanyakkan pelajar kemasukan sesi Ogos tahun lalu itu merupakan penyokong tegar bekas Presiden Mohammed Mursi.

Presiden universiti, Osama El-Abd berkata, siasatan membuktikan kesemua pelajar  itumengambil bahagian dalam aktiviti yang melanggar peraturan universiti.

“Seramai 36 daripada mereka adalah pelajar wanita dari cawangan universiti di bandar Delta Nil di Zagazig,” katanya.

Februari lalu, Presiden sementara Adly Mansour meminda undang-undang membenarkan ketua universiti untuk mengusir pelajar yang terlibat dalam rusuhan.

Menurut laporan Al Ahram, sebanyak 25 pelajar universiti berkenaan telah diusir sejak Mac lalu namun kumpulan akademik berpendapat, polis sengaja menahan mereka tanpa bukti dan menuduh mereka terlibat dengan aktiviti rusuhan.

Innalillah - Datuk Aziz Satar meninggal dunia

PELAKON veteran, Datuk Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada kira-kira jam 2 pagi tadi.
Memetik laporan sebuah media, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.

Allahyarham dilaporkan dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas diserang penyakit jantung.

Jenazah yang akan dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sebaik dibenarkan pihak hospital dan urusan pengebumian dijangka dilakukan pagi ini.

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin popular menerusi filem Seniman Bujang Lapok.

Al-Fatihah...

Brunei agresif perjelas kepada bukan Islam

SHAH ALAM - Kerajaan Brunei menitikberatkan penerangan yang jelas mengenai undang-undang hudud kepada rakyatnya, terutama golongan bukan Islam, bagi memastikan ia lebih difahami.

Timbalan Peguam Kanan, Jabatan Peguam, Hasanah Hasan berkata, pihaknya bertanggungjawab meningkatkan pemahaman masyarakat bukan Islam tempatan mengenai undang-undang itu berikutan fasa pertama pelaksanaan yang bermula 1 Mei lalu.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai, pelaksanaan hukum hudud merupakan kewajipan pemerintah sebagaimana diisytiharkan Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah sewaktu mengumumkan pelaksanaan hudud.

“Fasa pertama hanya meliputi kesalahan am yang ditetapkan undang-undang, manakala hukuman berat seperti hukuman mati hanya akan berkuat kuasa pada fasa ketiga dan terakhir pelaksanaan, 24 bulan selepas Mahkamah Tatacara Jenayah Syariah (CPC) diwartakan,” katanya dipetik The Brunei Times ketika memberi taklimat berkenaan undang-undang jenayah syariah Brunei kepada Persatuan India Belait (IAB).

Katanya, rakyat juga mempunyai kewajipan untuk  bersungguh-sungguh memahami kandungan dan tujuan sebenar hukum hudud dilaksanakan.

“Taklimat ini turut menyentuh jenis-jenis kesalahan dan hukuman serta memberi penekanan kepada kaedah pembuktian dan keadaan apabila ‘hadd’ (hukuman bagi kesalahan tertentu yang ditentukan al-Quran dan as-Sunnah) tidak akan dikenakan untuk ‘sariqah’ atau kecurian,” katanya.

Dalam satu kenyataan, IAB berkata, pihaknya telah mengadakan taklimat mendidik ahli-ahlinya dan masyarakat India di Belait, Brunei mengenai undang-undang jenayah syariah bagi memastikan mereka bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang ditetapkan.

IAB juga berhasrat mengambil segala usaha dalam membantu jabatan kerajaan berkaitan menyebar maklumat dan meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan masyarakat India.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Arab Saudi bersedia melatih hakim syariah dan pegawai kehakiman Brunei dalam melaksanakan hukum hudud di negara itu.

Duta Arab Saudi ke Brunei, Mohammed Jameel Abdul Jaleel Hashim berkata, kerajaannya bakal menyediakan hakim syariah bagi membantu undang-undang berkenaan dilaksanakan.

Katanya, Brunei menjadi negara pertama di Asia Tenggara melaksana hudud dan diharap rakyat negara itu mengetahui tujuan undang-undang itu dilaksanakan.