Tuesday, May 6, 2014

Brunei agresif perjelas kepada bukan Islam

SHAH ALAM - Kerajaan Brunei menitikberatkan penerangan yang jelas mengenai undang-undang hudud kepada rakyatnya, terutama golongan bukan Islam, bagi memastikan ia lebih difahami.

Timbalan Peguam Kanan, Jabatan Peguam, Hasanah Hasan berkata, pihaknya bertanggungjawab meningkatkan pemahaman masyarakat bukan Islam tempatan mengenai undang-undang itu berikutan fasa pertama pelaksanaan yang bermula 1 Mei lalu.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai, pelaksanaan hukum hudud merupakan kewajipan pemerintah sebagaimana diisytiharkan Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah sewaktu mengumumkan pelaksanaan hudud.

“Fasa pertama hanya meliputi kesalahan am yang ditetapkan undang-undang, manakala hukuman berat seperti hukuman mati hanya akan berkuat kuasa pada fasa ketiga dan terakhir pelaksanaan, 24 bulan selepas Mahkamah Tatacara Jenayah Syariah (CPC) diwartakan,” katanya dipetik The Brunei Times ketika memberi taklimat berkenaan undang-undang jenayah syariah Brunei kepada Persatuan India Belait (IAB).

Katanya, rakyat juga mempunyai kewajipan untuk  bersungguh-sungguh memahami kandungan dan tujuan sebenar hukum hudud dilaksanakan.

“Taklimat ini turut menyentuh jenis-jenis kesalahan dan hukuman serta memberi penekanan kepada kaedah pembuktian dan keadaan apabila ‘hadd’ (hukuman bagi kesalahan tertentu yang ditentukan al-Quran dan as-Sunnah) tidak akan dikenakan untuk ‘sariqah’ atau kecurian,” katanya.

Dalam satu kenyataan, IAB berkata, pihaknya telah mengadakan taklimat mendidik ahli-ahlinya dan masyarakat India di Belait, Brunei mengenai undang-undang jenayah syariah bagi memastikan mereka bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang ditetapkan.

IAB juga berhasrat mengambil segala usaha dalam membantu jabatan kerajaan berkaitan menyebar maklumat dan meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan masyarakat India.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Arab Saudi bersedia melatih hakim syariah dan pegawai kehakiman Brunei dalam melaksanakan hukum hudud di negara itu.

Duta Arab Saudi ke Brunei, Mohammed Jameel Abdul Jaleel Hashim berkata, kerajaannya bakal menyediakan hakim syariah bagi membantu undang-undang berkenaan dilaksanakan.

Katanya, Brunei menjadi negara pertama di Asia Tenggara melaksana hudud dan diharap rakyat negara itu mengetahui tujuan undang-undang itu dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment