Tuesday, March 18, 2014

POST 5 - Malaysia ketepikan Kanada 3-1

MALAYSIA mengetepikan Kanada 3-1 pada perlawanan pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 di Stadium Azlan Shah di Ipoh malam ini:
Separuh masa:  Malaysia   1    Kanada   1

Penjaring:

Malaysia:
Faizal Saari (min-4 dan 46), Ahmad Nasruddin (min-66)
  
Kanada:
Adam Froese (min-15)

- Bernama

POST 4 - Kehilangan pesawat tidak jejas permintaan naik MAS

KEHILANGAN Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dijangka tidak mendatangkan impak teruk terhadap permintaan pelancongan udara syarikat penerbangan nasional itu dalam jangka sederhana.

RHB Research berkata, peristiwa itu adalah satu lagi halangan terhadap prospeknya untuk kembali meraih keuntungan, tetapi setakat ini trend tempahan penerbangan dan faktor muatan MAS jelas tidak berubah dan tidak ada tanda-tanda ia semakin perlahan.

Kegiatan promosi dihentikan dan laman sesawang syarikat penerbangan itu ‘digelapkan’ - laman ‘terpendam’ setelah semua bahan promosi ditiadakan untuk memberi maklumat dan berita terbaharu mengenai kehilangan MH370 itu.

“Laman sesawang yang ‘digelapkan’ hanya diaktifkan dalam keadaan krisis dan dalam kes ini kami tidak dapat mengandaikan tempoh masanya,” kata RHB Research yang menyarankan saham syarikat itu ‘dijual’.

RHB Research juga menurunkan taraf sektor penerbangan tempatan kepada neutral daripada beli lebih tanpa sebarang hasil diraih daripada penggiat industri tahun ini. - Bernama

POST 3 - Baca al-Quran rahsia kekal sihat

PASIR MAS - Amalan membaca ayat suci al-Quran adalah rahsia Mat Hassan Ngah yang kini berusia 105 tahun masih sihat tubuh badan dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

Bapa kepada tiga anak berusia antara 58 hingga 48 tahun itu juga bersyukur dianugerahkan penglihatan yang baik walaupun telah berusia.

Berasal dari Kampung Chap, Gelang Mas, Mat Hassan dan isterinya, Jenab Adam, 90, tetap kelihatan mesra serta manja antara satu sama lain.
Mereka sering bergurau senda dan tidak malu menunjukkan kasih sayang, malah adakalanya mereka juga turut makan bersuap.

“Pakcik masih ingat semasa kecil-kecil dulu, orang-orang tua selalu cakap pakcik dilahirkan semasa Kelantan dilanda banjir merah.
“Tetapi kalau diikutkan pada kad pengenalan, pakcik dilahirkan pada 1915 dan semasa membuat kad tersebut, umur pakcik 25 tahun,” katanya.

Mat Hassan berkata, dia juga sangat menjaga pemakanan dan hanya memakan ulam-ulaman serta sayur-sayuran segar sahaja.

“Pakcik tidak suka mengambil makanan yang diawet dan segera, semuanya harus segar,” katanya.

Menurutnya, dahulu dia merupakan Home Guard dan berkhidmat dari tahun 1948 hingga 1962.

Mat Hassan yang begitu bersemangat menceritakan pengalamannya sebagai pejuang kemerdekaan berkata, melihat generasi muda sekarang seolah-olah tidak menghargai kebebasan, sangat menyedihkan hatinya.

Katanya, generasi muda seperti mensia-siakan kebebasan tersebut apabila ramai terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah dan lumba haram.

“Pakcik harap generasi muda akan sedar dengan kealpaan mereka dan menggunakan peluang yang ada ini untuk menikmati kehidupan lebih baik untuk masa depan, bukannya merosakkan diri sendiri,” katanya.

POST 2 - Di mana MH370 boleh mendarat?

MAKLUMAT data mendapati pesawat MH370 berhubung enam kali dengan  satelit  dan yang terakhir direkodkan pada jam 8.11 pagi pada waktu tempatan 8 Mac lalu bukti pesawat itu tidak mengalami masalah teknikal meskipun transporder sudah dimatikan berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam  (DCA), Datuk  Azharuddin  Abdul Rahman berkata, berdasarkan data satelit berkenaan, kajian dilakukan pakar bagi menentukan laluan yang digunakan MH370.

Menurutnya, isyarat itu dikesan pada tempoh pesawat hilang daripada titik Igari untuk sempadan kawalan trafik udara Vietnam dan Malaysia dan ‘air turn back’ ke Selat Melaka.

Sidang media semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pesawat berkenaan  mempunyai tempoh 30 minit  sahaja selepas itu untuk melakukan penerbangan sebelum   kehabisan minyak.

Walau bagaimanapun beliau sebelum itu  turut menafikan pesawat berkenaan mendarat di Pengkalan Tentera Diego Garcia milik AS di Lautan Hindi.

Jadi ke mana pesawat yang hendak kehabisan minyak boleh melakukan pendaratan cemas?

Seperti yang diketahui umum di kawasan  Lautan Hindi cukup luas dan mempunyai banyak pulau-pulau kecil.

Menurut pakar,  MH370 boleh mendarat dengan selamat pada landasan pendek yang bukan khas untuk kegunaan pesawat komersial sepertinya.

Jika mendarat dengan kawalan juruterbang di laut, pesawat dianggarkan mengambil masa tiga minit untuk meluncur sebelum terhenti dan terapung sebelum tenggelam jika air memasuki kabin sepenuhnya.

Berbeza dengan sebarang pendaratan di daratan seperti padang pasir, pesawat boleh mengalami banyak kerosakan kerana permukaan tidak rata dan keras yang boleh menyebabkan MH370 melambung  atau terhempas di luar kawalan.

Jika teori ini tepat,  MH370  yang dilaporkan  dikendalikan secara manual oleh  seseorang yang mahir di dalam kokpit  akan melalui kawasan   Kepulauan  Andaman  selepas isyarat terakhir dipercayai dari pesawat itu  dikesan radar  Tentera Udara Diraja Malaysia  di situ.

Pulau Nicobar yang terletak Lautan Hindi mempunyai tiga landasan kapal terbang tinggal yang sudah tidak digunakan. Salah satu daripadanya adalah Lapangan Terbang Campbell Bay yang terletak 190 kilometer Utara Kepulauan Sumatera.

Selain itu, terdapat sebuah lagi landasan kapal terbang dibina tentera Jepun pada tahun 1942 hingga 1945. Landasan ini kemudiannya diubahsuai dan dipanjangkan  sehingga 8,886 kaki oleh Tentera Udara India pada 1967.

Sebuah lagi landasan kapal terbang terletak di Utara antara  Pulau Andaman dan Nicobar. Ialah Landasan Kapal Terbang Shibpur yang kini juga sudah tidak lagi digunakan.

Landasan kapal terbang tinggal juga wujud di Pulau Koko yang dikatakan  dimiliki oleh tentera  Myanmar  dan sesetengahnya mengatakan ianya kini di bawah kekuasaan China.

Pilihan terakhir, MH370 juga  boleh mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar  atau lebih dikenali sebagai ‘Portblair’ milik Negara India  di pulau yang sama yang difahamkan kini dalam proses pengubahsuaian.

POST 1 - Dua daripada empat pelajar hilang ditemui

KUALA KANGSAR - Dua daripada empat pelajar tingkatan 5 Kolej Vokasional Padang Rengas yang dilaporkan hilang ketika ekspedisi mendaki Gubung Bubu, Ulu Kernas sejak Ahad lalu, sudah ditemui pagi tadi.

Siti Azimah Mohd Fitri dan Mohd Putera Rafii, 17, ditemui anggota penyelamat kira-kira jam 9.15 pagi sebelum tiba di pusat kawalan operasi anggota Bomba dan Penyelamat pada jam 12.13 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintenden Alias Seman berkata, kedua-dua mereka ditemui dalam keadaan lesu, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, usaha mencari dua lagi pelajar, Adam Asyraf Azuaan dan Mohd Amir Asyraf masih diteruskan.

"Namun dengan penemuan dua pelajar itu, kawasan pencarian dapat dikecilkan dan anggota bertugas menumpukan pencarian di sekitar pesisiran Sungai Gading," katanya.